Bar Malaysia, Persatuan Undang–Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak menentang sekeras–kerasnya segala bentuk penahanan tanpa bicara, dan memandang berat penglulusan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Prevention of Terrorism Act 2015, “POTA”) menjadi undang–undang pada awal pagi 7 April 2015.
Jelas bahawa POTA ialah usaha oleh kerajaan untuk membangkitkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Internal Security Act 1960; “ISA”), Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959, dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969. POTA tidak boleh diterima — ia mengabaikan proses pengadilan yang adil, melanggar hak perlembagaan kita, dan bertentangan dengan kedaulatan undang–undang. POTA membawa kepada kemunculan semula undang–undang penahanan tanpa bicara, batasan atau penafian perwakilan guaman, dan penyingkiran bidang kuasa mahkamah.
POTA tidak jelas dari segi skopnya kerana ia disasarkan kepada kumpulan orang yang tidak ditakrifkan dengan jelas. Ia ditujukan kononnya kepada orang yang “terlibat dengan perbuatan melakukan atau menyokong perbuatan keganasan yang melibatkan organisasi pengganas yang tersenarai di sesuatu negara asing atau di mana–mana bahagian sesuatu negara asing”. Namun kata–kata seperti “terlibat”, “perbuatan melakukan”, “menyokong” dan “yang melibatkan”, tidak ditakrifkan dalam POTA. Maka jangkauan undang–undang ini amat luas dan membuka ruang kepada penyalahgunaan. Ia membuka kemungkinan bahawa hampir sesiapa sahaja boleh disasarkan di bawah POTA. Ia tidak boleh dipandang mudah sebagai hanya mensasarkan “pengganas”. Kita telah melihat bagaimana ISA, yang dimaksudkan untuk menangani pemberontakan komunis, telah digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat politik dan memenjarakan musuh politik.
POTA memberi harapan palsu dalam pengecualian “kepercayaan politik atau aktiviti politik” sebagai alasan penahanan. Pertubuhan yang tidak didaftarkan sebagai parti politik di bawah Akta Pertubuhan 1966, atau langsung tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966, mungkin tertakluk kepada kuasa POTA yang luas. Kami juga maklum bahawa pada masa lalu, ahli dan aktivis politik telah ditahan di bawah ISA untuk kegiatan mereka yang dikatakan sebagai memudaratkan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Kami bimbang POTA akan disalahgunakan sedemikian sebagai alat penindasan politik.
Bar Malaysia, Persatuan Undang–Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak juga gusar dengan pencerobohan terhadap budi bicara kehakiman dalam kes jenayah. Di bawah POTA, seseorang boleh direman pada awalnya untuk penahanan siasatan bagi tempoh maksimum 60 hari. Seseorang Majistret tidak mempunyai budi bicara untuk menolak permohanan reman, dan tugasnya kini sekadar “cop getah” yang meluluskan permohonan polis dan Pendakwa Raya. Begitu juga dengan Hakim Mahkamah Sesyen: Beliau tidak mempunyai budi bicara untuk menolak apa–apa permohonan oleh Pendakwa Raya untuk mengarahkan supaya si tertuduh memakai peranti pengawasan elektronik. Kuasa budi bicara yang wujud untuk membolehkan Badan Kehakiman menangani tindakan pihak Eksekutif yang keterlaluan kini dilenyapkan. Pencerobohan terhadap budi bicara kehakiman ini yang dibenarkan POTA adalah serius kerana ia seperti meletakkan kuasa kehakiman di pihak Eksekutif. Kami mengingatkan Kerajaan bahawa di bawah kerangka perlembagaan kita, kuasa kehakiman terletak pada badan kehakiman, dan peletakan kuasa kehakiman di mana–mana badan lain adalah bercanggah dengan perlembagaan.
Selanjutnya, tidak ada peruntukan bagi pemakluman orang yang ditahan mengenai alasan penangkapan dan tidak ada apa–apa jaminan bahawa perwakilan guaman akan dibenarkan. Ini kerana pihak polis cenderung untuk menggunakan pengecualian di bawah Seksyen 28A(8) Kanun Tatacara Jenayah untuk menafikan akses kepada peguam. Ini merupakan seperkara lagi yang serius kerana akses kepada perwakilan guaman tidak harus dinafikan bagi orang yang menghadapi pertuduhan serius mengenai keganasan dan kemungkinan kehilangan kebebasan.
POTA juga memberi kuasa drakonian kepada Pegawai Siasatan — yang tidak ditakrifkan dengan jelas di dalam POTA — yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan terhadap si tertuduh dan menyampaikan bukti kepada Lembaga Pencegahan Keganasan (Prevention of Terrorism Board; “POTB”). Langkah ini mengecualikan peraturan–peraturan keterangan dan tatacara jenayah yang lazim, dan Pegawai Siasatan boleh mendapatkan keterangan dengan apa jua cara. Pegawai Siasatan kemudiannya menyampaikan laporannya kepada POTB, dan tiada peruntukan untuk POTB supaya menyiasat laporan itu atau mendapatkan siasatan lanjut. POTB mempunyai kuasa yang luas — ia boleh memberi perintah tahanan selama sehingga dua tahun, atau perintah kediaman terhad sehingga lima tahun. Tempoh tahanan atau kediaman terhad ini boleh diperbaharui bagi tempoh yang tidak ditentukan. Arahan–arahan ini dibuat oleh POTB tanpa mengikut proses pengadilan yang adil memandangkan hakikat bahawa si tertuduh dinafikan hak untuk membuat sebarang perwakilan guaman di hadapan POTB.
Seterusnya, hujah bahawa POTA tidak boleh dibandingkan dengan ISA kerana bukan lagi Menteri Dalam Negeri yang memutuskan perintah tahanan atau sekatan itu, seolah–olah ada kebenarannya. Ahli POTB dilantik oleh Yang di–Pertuan Agong (atas nasihat Kerajaan, mengikut amalan biasa) dan boleh dipecat oleh Yang di–Pertuan Agong pada bila–bila masa. Ketiadaan jaminan tempoh jawatan ini menjejaskan sebarang kebebasan yang kononnya dimiliki POTB. Hanya Pengerusi Lembaga dikehendaki mempunyai pengalaman undang–undang, dan tidak ada peruntukan bahawa dia mesti, atau mesti mempunyai kelayakan, seorang Hakim.
Kita dapat perhatikan daripada pelaksanaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 bahawa nama ahli Lembaga Pencegahan Jenayah tidak diumumkan. Besar kemungkinan begitu juga amalannya bagi ahli POTB. Hakikat bahawa pendengaran POTB tidak akan diadakan di khalayak umum bermaksud bahawa POTA akan membenarkan perbicaraan rahsia oleh panel rahsia. Ketelusan tidak akan wujud.
Satu aspek POTA yang paling menjijikkan ialah penyingkiran mutlak terhadap semakan kehakiman. Ia memungkinkan tiada semakan kehakiman terhadap perintah tahanan atau perintah sekatan. Ia menghina Badan Kehakiman dan selanjutnya bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan dan perlindungan sama rata di sisi undang–undang. Laluan kecil yang membenarkan mahkamah menyemak pematuhan tatacara adalah sekadar ilusi kerana POTB menentukan tatacaranya sendiri.
Bar Malaysia, Persatuan Undang–Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak berpandangan bahawa jawapan kepada usaha memerangi keganasan bukannya terletak dalam undang–undang yang menindas yang menjejaskan kepatuhan kita kepada kedaulatan undang–undang, proses pengadilan yang adil, dan perlindungan perlembagaan. Peperangan menentang keganasan memerlukan pengukuhan keupayaan kita untuk mengesan, mengumpul bukti, menyiasat dan menangani ancaman keganasan secara holistik. Kita mesti menjauhi jalan pintas atau pembetulan mudah yang seolah–olah memberi penyelesaian jangka pendek tetapi tidak memberi hasil jangka panjang.
Kami sedar ancaman keganasan global sentiasa berubah dan Kerajaan sedang berusaha untuk membuat penyesuaian agar dapat menanganinya di dalam negeri. Kami menyokong usaha–usaha ini tetapi masih berpegang kepada pendirian kami bahawa peperangan menentang keganasan mesti dimenangi tanpa menjejaskan kedaulatan undang–undang, hak asasi manusia dan prinsip keadilan semula jadi.
Bar Malaysia, Persatuan Undang–Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak menolak cubaan Kerajaan ini untuk membangkit semula penahanan tanpa bicara, pembaharuan berulangkali penahanan sebegini, penyingkiran bidang kuasa badan kehakiman, dan batasan atau penafian hak untuk proses pengadilan yang adil bagi orang yang disyaki.
Kami menggesa kerajaan menarik balik POTA daripada dibentangkan di Dewan Negara.
Steven Thiru
Yang Dipertua
Bar Malaysia
Datuk GBB Nandy @ Gaanesh
Presiden
Persatuan Undang–Undang Sabah
Leonard Shim
Presiden
Persatuan Peguambela Sarawak
10 April 2015
Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media Bersama ini adalah versi bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Bar Malaysia, Persatuan Undang–Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak bertarikh 10 April 2015, yang boleh didapati di sini.